Oleh Schumpetah
Dalam dua penulisan sebelum ini, saya membincangkan kemungkinan Sabah menghadapi structural trap serta cabaran graduan dan tenaga mahir untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang setimpal. Namun, peluang pekerjaan dan pendapatan hanyalah sebahagian daripada persoalan. Satu lagi perkara yang perlu kita lihat ialah sejauh mana pendapatan tersebut mampu menampung kos kehidupan.
Kita ambil Kota Kinabalu sebagai contoh.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median pendapatan isi rumah Kota Kinabalu pada 2024 ialah RM5,896 sebulan, sedikit menurun berbanding RM5,957 pada 2022. Sementara itu, purata perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan di Kota Kinabalu ialah RM4,726, yang tertinggi antara daerah di Sabah. Walaupun kedua-dua ukuran ini tidak boleh dibandingkan secara langsung untuk mengira baki simpanan, angka tersebut menunjukkan pentingnya meneliti hubungan antara pendapatan dan kos sara hidup di bandar.
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap pasaran sewaan di Kota Kinabalu, bilik yang selesa boleh menelan belanja RM500 atau lebih sebulan, manakala sewa sebuah rumah pula boleh mencecah RM1,000 atau lebih. Belum lagi mengambil kira harga rumah yang semakin mencabar kemampuan sesetengah pekerja. Rumah sepatutnya menjadi keperluan asas, bukannya kemewahan yang sukar dicapai.
Tidak hairanlah ada pekerja yang memilih untuk menetap di kawasan pinggir bandar kerana kos perumahan yang lebih rendah. Namun, apabila tinggal lebih jauh, timbul pula kos pengangkutan; minyak kenderaan, penyelenggaraan kereta, kesesakan lalu lintas dan masa perjalanan semuanya mempunyai kos tersendiri.
Menurut DOSM, pengangkutan menyumbang 10.9% daripada perbelanjaan penggunaan isi rumah di Sabah pada 2024. Dalam konteks ini, pengenalan perkhidmatan BAS.MY atau bas pink di Kota Kinabalu merupakan perkembangan yang wajar dipuji. Jika sistem pengangkutan awam mudah diakses dari kawasan perumahan ke tempat kerja, ia berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Mungkin selepas ini perlu ada kajian untuk melihat sejauh mana perkhidmatan bas pink benar-benar mampu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah. Menarik juga kalau ada kajian tentang perkara ini.
Berbalik kepada pekerja, khususnya graduan muda, mereka bukan sekadar mahu mempunyai pekerjaan. Mereka juga mahu memiliki rumah, membina keluarga, meningkatkan taraf hidup dan mempunyai simpanan. Hal ini mengingatkan saya kepada hierarki keperluan Maslow. Manusia bukan sekadar mahu memenuhi keperluan asas, tetapi turut mempunyai aspirasi untuk mencapai keselamatan, penghargaan diri dan potensi kehidupan yang lebih baik. Namun, bagaimana seseorang mahu mencapai semua itu jika sebahagian besar pendapatan hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian?
Lebih membimbangkan apabila tiada ruang untuk menyediakan simpanan kecemasan. Jika berlaku krisis seperti pandemik COVID-19 atau kehilangan pekerjaan, isi rumah yang tidak mempunyai ‘tangki oksigen’ mencukupi akan lebih terdedah kepada risiko kewangan.
Dalam keadaan ini, seseorang mungkin tidak dikategorikan sebagai miskin berdasarkan pendapatan, tetapi masih mengalami kekurangan dari segi keselamatan kewangan, perumahan, pengangkutan dan peluang meningkatkan taraf hidup. Inilah sebabnya kemiskinan tidak sepatutnya dinilai melalui pendapatan semata-mata.
Jika kita kembali kepada perbualan awal dengan penyelia saya, saya semakin memahami mengapa beliau membangkitkan persoalan structural trap.
Sabah mempunyai sumber alam yang banyak, potensi pelancongan yang besar dan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana aktiviti ekonomi tersebut mampu meningkatkan produktiviti, menyediakan pekerjaan berkualiti dan menaikkan pendapatan rakyat.
Pada 2024, Sabah turut memberi penekanan kepada pembangunan Ekonomi Biru atau Blue Economy, yang merangkumi pelbagai aktiviti berasaskan sumber marin. Dasar ini membuka satu lagi persoalan menarik untuk diteliti: adakah pembangunan sektor ekonomi baharu mampu membawa perubahan struktur yang benar-benar meningkatkan taraf hidup anak Sabah?
Kerana akhirnya, kejayaan pembangunan ekonomi bukan sekadar diukur melalui jumlah pelaburan, pekerjaan atau pertumbuhan ekonomi, tetapi sejauh mana rakyat yang bekerja keras mampu hidup dengan lebih selesa dan membina masa depan yang lebih baik.
Mungkin perbahasan tentang struktur ekonomi Sabah dan potensi Ekonomi Biru wajar saya sambung dalam penulisan yang lain pula.





Leave a Reply