Setiap kali berbicara tentang pembangunan Sabah, isu jalan raya hampir tidak pernah terlepas daripada perbincangan. Jalan berlubang, kerosakan berulang, kelewatan projek dan persoalan tentang penyelenggaraan merupakan antara realiti yang dihadapi pengguna jalan raya di Sabah. Bagi sesetengah masyarakat, keadaan ini memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi dan kehidupan seharian.
Nyatanya jalan raya bukan sekadar laluan yang menghubungkan satu tempat dengan tempat yang lain. Ia menghubungkan masyarakat kepada peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan kegiatan ekonomi. Sebab itu, pembangunan jalan raya perlu dilihat bukan hanya melalui berapa banyak jalan yang dibina, tetapi juga sejauh mana ia dirancang, diurus, dipantau dan diselenggara dengan baik.
Persoalannya, bagaimana kita memastikan masalah yang sama tidak terus berulang?
Pembangunan infrastruktur memerlukan lebih daripada peruntukan kewangan dan kerja pembinaan. Ia memerlukan perancangan berasaskan data, pemantauan yang konsisten, pengurusan yang cekap, penyelenggaraan berkala dan akauntabiliti yang jelas. Kita perlu sudah beralih daripada pendekatan yang sekadar bertindak selepas kerosakan berlaku kepada sistem yang mampu mengenal pasti risiko, merancang keutamaan dan mencegah masalah lebih awal.
Kemajuan teknologi membuka ruang kepada pendekatan yang lebih baik. Pemetaan digital, sistem aduan berasaskan lokasi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu mengenal pasti kerosakan, memantau kemajuan projek serta menyusun keutamaan penyelenggaraan. Maklumat yang lebih tersusun juga boleh membantu pihak berkaitan membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan bukti.
Teknologi bukan penyelesaian kepada segala masalah. Namun, jika kita terus mengurus isu yang kompleks dengan pendekatan yang tidak mengikut zaman, kita berisiko mengulangi kelemahan yang sama. Pembaharuan tidak semestinya bermula dengan perubahan besar, tetapi dengan kesediaan untuk menilai, menguji dan memperbaiki cara kerja sedia ada.
Di sinilah anak muda mempunyai peranan.
Sabah mempunyai anak muda dengan pelbagai kepakaran dalam kejuruteraan, teknologi, analisis data, pemetaan, geografi, dasar awam, komunikasi dan inovasi. Kemahiran ini boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pembangunan infrastruktur, sama ada melalui penyelidikan, pembangunan sistem, pemetaan kerosakan jalan, projek inovasi komuniti, advokasi dasar mahupun kerjasama dengan agensi berkaitan.
Kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi pemimpin, pegawai kanan atau pembuat dasar untuk mula menyumbang. Penglibatan boleh bermula dengan mengenal pasti masalah, mengumpulkan bukti, mengemukakan idea dan membina kerjasama. Kritikan yang baik seharusnya tidak berhenti pada menunjukkan kelemahan, tetapi turut berusaha memahami punca dan sama-sama kita mengusahakan alternatif.
Pada masa yang sama, institusi dan agensi berkaitan perlu membuka ruang yang lebih bermakna kepada penglibatan generasi muda. Bakat dan idea anak muda tidak seharusnya sekadar diraikan dalam wacana, tetapi perlu diberikan peluang untuk diuji, dikembangkan dan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal.
Jalan raya yang lebih baik bukan hanya dibina dengan asfalt dan konkrit. Ia turut dibina melalui pemikiran yang progresif, sistem yang berkesan, kepimpinan yang bertanggungjawab dan masyarakat yang berani mengambil bahagian, terutama sekali anak muda yang sedang mewarisi keadaan terikini dan akan mewariskan hasil usahanya di masa depan kelak.
Mungkin sudah tiba masanya anak muda Sabah bukan sekadar bertanya bila jalan raya kita akan menjadi lebih baik, tetapi turut bertanya bagaimana kita boleh mengambil bahagian dalam menjadikannya lebih baik. Dengan izinNya, sama-sama kita usahakan.
Penulis kini sedang menjalankan kajian berkaitan kerangka dashboard berintegrasikan AI untuk pemantauan projek pembinaan jalan raya awam. Sebagai sebahagian daripada kajian tersebut, penulis ingin mengajak orang ramai melihat contoh prototaip dashboard serta menjawab soal selidik ringkas. Penglibatan anda penting untuk menilai sejauh mana pendekatan digital seperti ini berpotensi membantu pemantauan projek jalan raya yang lebih sistematik, memudahkan urusan seharian kita dan praktikal untuk mereka di lapangan kerja.






Leave a Reply