Oleh Akmal Matni
Cuba jujur dengan diri sendiri, bila kali terakhir anda betul-betul duduk, memerah otak untuk menyelesaikan satu masalah rumit dan mencari jalannya sendiri tanpa membuka ChatGPT, Claude, atau Gemini?
Kita sering mendabik dada kononnya kita makin bijak dan produktif sebab boleh menyiapkan tugasan atau kerja dalam masa beberapa minit. Tapi hakikatnya, adakah kita yang makin pintar atau kita sekadar menjadi ‘robot’ baharu yang cuma pandai menekan butang copy dan paste?
AI mungkin tidak merampas kerjaya anda esok hari, tetapi cara anda bergantung padanya secara membabi buta sedang perlahan-lahan membunuh dua kebolehan terpenting seorang manusia iaitu kemahiran berfikir secara kritis (critical thinking) dan kebolehan berkomunikasi secara tulen (soft skills).
Ramai anak muda hari ini khususnya mahasiswa, kerap menggunakan AI dalam kehidupan seharian mereka seperti menyiapkan tugasan, copy dan paste jawapan secara langsung tanpa mengamalkan prinsip tabayyun seperti membuka mulut dan menunggu AI “menyuapkan” segalanya.
Persoalannya, adakah kita telah “menggunakan” AI dengan bijak atau AI bijak “mempergunakan” kita ? dan apakah kesannya kepada anak muda ?
1. Fenomena ‘Otak Tumpul’: Bila Manusia Cuma Jadi ‘Penyampai Mesej’
Dalam bidang sains saintifik, wujud satu istilah yang dipanggil Cognitive Offloading — kecenderungan manusia untuk menyerahkan proses pemikiran rutin kepada teknologi luar. Dulu kita serahkan ingatan nombor telefon kepada memori gajet. Sekarang, kita menyerahkan kebolehan berfikir dan menganalisis secara keseluruhan kepada algoritma.
Otak manusia beroperasi seperti otot; jika tidak dilatih, maka ia akan mengecut (mental atrophy).
Dulu, proses pembelajaran memerlukan kita membaca pelbagai sumber, memproses data, merangka idea dan merumuskan jawapan sendiri. Kini, anak muda hanya menyalin soalan, menampal ke dalam kotak AI dan terus menelan jawapan tersebut bulat-bulat tanpa sebarang semakan fakta (fact-checking).
Kesan jangka panjangnya? Anda bukan lagi seorang pemikir. Anda cuma seorang “pembawa mesej” (middleman) antara enjin AI dan kertas tugasan. Bila diajukan soalan spontan di luar skrip di dunia realiti, otak terus jadi ‘jem’ dan hilang punca. Inilah mengapa penting untuk kita pastikan AI hanya sekadar alat bantuan dan bukan tempat untuk kita serahkan secara keseluruhannya.
2. Krisis Soft Skills: AI Ada Jawapan, Tapi Tak Ada ‘Jiwa’
Menurut laporan World Economic Forum (WEF) – Future of Jobs Report, kemahiran seperti Complex Problem-Solving, Critical Thinking dan Emotional Intelligence konsisten berada di tangga teratas sebagai kemahiran paling dicari majikan global.
Paradoksnya, kemahiran-kemahiran inilah yang paling cepat hakis apabila anak muda terlalu memanjakan diri dengan AI.
AI sentiasa memberikan jawapan yang kemas, selamat dan berstruktur. Namun, dunia kerjaya sebenar tidak beroperasi sedemikian. Pejabat dan perniagaan penuh dengan dinamik emosi manusia, konflik politik organisasi dan masalah kecelaruan (unstructured problems) yang tiada dalam jawapan piawai AI.
Bila anak muda tidak lagi berlatih berfikir secara kritikal semasa di alam pengajian atau awal kerjaya, mereka gagal membina daya ketahanan mental (mental resilience) untuk berhadapan dengan situasi tak dijangka.
Rentetan daripada itu, saya tertarik dengan jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri Malaysia ke-10) apabila diajukan soalan oleh salah seorang pelajar sekolah menengah berkaitan masa depan kecerdasan buatan AI. Beliau menjawab, “…sementara AI itu penting, ia tidak ada nilai, akhlak dan nilai kemanusian melainkan hanya ada kepintaran. Akal perlu dikaitkan dengan Budi, bukan semata-mata kepintaran.”
Pada pendapat saya, kita perlu terus menjadi manusia yang memperkasa kebolehan kita sendiri dan perlu mengimbangkan penggunaan AI dan potensi sendiri.
3. Kemerosotan Komunikasi Tulen (Social Anxiety Bertambah)
Pernahkah anda perhatikan bagaimana ramainya anak muda hari ini yang sangat lancar menulis perenggan e-mel yang cantik menggunakan AI, tetapi bertukar gagap, berpeluh dingin dan hilang keyakinan bila diminta bercakap secara bersemuka?
Bila semua perkara, daripada draf jawapan mesyuarat, mesej di LinkedIn, sehingga ayat untuk memohon maaf atau meminta naik gaji semua diserahkan kepada AI untuk ditulis, maka ini mencetus kepada :
- Kehilangan Suara Tulen: Bahasa anda bertukar menjadi skrip mesin yang kaku dan hilang personaliti unik anda.
- Ketakutan Berinteraksi Realiti: Ketidakupayaan untuk berhubung secara emosi (emotional connection) membuatkan anak muda makin janggal bila berada dalam ruang fizikal bersama orang lain.
Majikan hari ini bukan kekurangan pekerja yang tahu buat kerja teknikal. Laporan pelbagai badan pemikir seperti Khazanah Research Institute (KRI) dan TalentCorp kerap menekankan krisis utama graduan baharu iaitu mereka ada ijazah, tapi tidak tahu cara berkomunikasi, berunding dan bekerja dalam pasukan.
4. Generasi ‘Copy-Paste’ yang Ketagih Jawapan Segera
Bahaya terbesar AI bukanlah kebijakannya, tetapi sikap malas kita yang menganggap AI tidak pernah salah.
Kerana malas berfikir, anak muda mudah terperangkap dengan apa yang dipanggil AI Illusion. Mereka menelan bulat-bulat maklumat salah atau separa tepat yang dijana oleh mesin. Keupayaan untuk menilai sudut pandang yang berbeza, membedah hujah dan mempertahankan pendapat sendiri secara intelek makin pupus.
Jika trend ini berterusan, kita sedang melahirkan satu generasi yang amat rapuh yakni generasi yang tinggi akses teknologinya, tetapi rendah daya fikir dan ketajaman emosinya.
Pilihan Di Tangan Anda: Mahu Jadi Pemandu Atau Penumpang?
AI bukan musuh. Ia adalah alat bantu yang sangat berkuasa jika digunakan dengan betul.
Bezanya begini, gunakan AI seperti anda menggunakan kalkulator. Kalkulator digunakan untuk memecahkan pengiraan panjang supaya anda boleh fokus pada logik matematik yang lebih besar, bukannya membuatkan anda lupa cara menambah satu tambah satu.
Jangan biarkan teknologi mengambil alih fungsi asas otak anda. AI mungkin boleh menulis jawapan untuk anda, tetapi ia takkan mampu menggantikan keyakinan, intuisi, kreativiti dan kehangatan komunikasi seorang manusia.
Persoalannya sekarang, apabila anda menutup artikel ini kelak dan berdepan dengan masalah seterusnya, adakah anda akan terus membiarkan mesin berfikir untuk anda atau anda mahu mula melatih kembali otot otak anda sendiri?





Leave a Reply