Oleh Syafiq Ismail

Dalam Fasl al-Maqal, Ibn Rusyd menulis:
فإن الموجودات إنما تدل على الصانع لمعرفة صنعتها. وأنه كلما كانت المعرفة بصنعتها أتم كانت المعرفة بالصانع أتم، وكان الشرع قد ندب إلى اعتبار الموجودات، وحث على ذلك.
Terjemahannya: segala yang wujud menunjukkan kepada Pencipta melalui pengetahuan tentang cara ia dicipta. Semakin sempurna pengetahuan tentang ciptaan, semakin sempurna pengetahuan tentang Penciptanya. Kerana itulah Syariat menyeru manusia agar memikirkan/I’tibar segala yang wujud.
Petikan ini pendek, tetapi membawa satu pandangan dunia yang lengkap.
Alam sebagai tanda
Hujah Ibn Rusyd bermula daripada satu pemerhatian mudah. Sebuah ciptaan tidak boleh menjadi petunjuk kepada penciptanya jika kita tidak memahaminya. Orang yang melihat sebuah jam, tanpa mengetahui bagaimana ia berfungsi, hanya melihat sebuah benda yang berdetik. Orang yang memahami gerigi dan susunannya akan menghargai kebijaksanaan di sebalik rekaan itu. Penghayatan akan semakin bertambah mengikut tahap pemahaman.
Prinsip yang sama digunakan pada alam semesta ini. Setiap kajian tentang tubuh haiwan, pergerakan bintang, atau susunan organik tumbuhan menyingkap lebih banyak keteraturan dan hikmah di sebalik keindahan dan kesempurnaan aturannya. Setiap penyingkapan itu menjadi sebab untuk mengenal Tuhan dengan lebih mendalam. Bagi Ibn Rusyd, sains bukan pesaing atau lawan kepada iman. Sains ialah salah satu jalan menujuNya.
Berasaskan Wahyu, bukan Akal semata
Ibn Rusyd tidak berhujah daripada luar tradisi Islam. Sekiranya diperhatikan sepanjang Fasl al-Maqal, dan juga buku-bukunya yang lain, beliau merujuk kepada ayat-ayat yang menyeru manusia memerhati dan merenung, seperti firman Allah: “Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” (al-Hasyr: 2), dan firmanNya: “Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah?” (al-A’raf: 185).
Perkataan i’tibar dalam petikan Ibn Rusyd diambil daripada akar yang sama dengan seruan dalam ayat alHasyr tersebut. Ibn Rusyd memahaminya sebagai usaha akal menyimpulkan perkara yang belum diketahui daripada perkara yang telah diketahui, iaitu penaakulan yang teratur. Kesimpulannya jelas: jika Syariat sendiri menyeru kepada i’tibar, maka mengkaji semua kewujudan dengan akal bukan sekadar harus dilakukan, malah dituntut dan wajib dilaksanakan. Beliau menggunakan istilah nadb (menyeru dan digalakkan) dan hathth (digesa) dalam petikan ini, dan di tempat lain dalam kitab yang sama beliau menegaskan bahawa bagi mereka yang berkemampuan, tuntutan untuk memikirkan segala kewujudan di langit dan bumi itu sampai ke tahap wajib.
Kebenaran tidak bertentangan dengan kebenaran
Pandangan ini disokong satu prinsip yang menjadi tonggak Fasl al-Maqal: kebenaran tidak menentang kebenaran, malah menyokong dan menjadi saksi kebenarannya. Jika wahyu datang daripada Allah, dan alam juga ciptaan Allah, maka kajian yang benar tentang alam tidak mungkin bercanggah dengan wahyu yang benar. Jika kelihatan ada percanggahan, masalahnya terletak pada kefahaman kita, sama ada tafsiran terhadap teks atau kesimpulan saintifik terhadap fenomena alam, dan bukan pada sumber-sumber itu sendiri. Prinsip ini membebaskan umat daripada rasa takut terhadap ilmu. Orang beriman tidak perlu bimbang kalau penemuan baharu berisiko meruntuhkan imannya. Jika sesuatu penemuan saintifik itu benar, ia akan menjadi saksi kepada kebenaran yang lain yang ada dalam teks wahyu.

Belajar daripada sesiapa sahaja
Ibn Rusyd juga menjawab sebuah soalan berat: bukankah ilmu-ilmu logik dan falsafah datang daripada orang Yunani seperti Aristotle, Plato dan lain-lainnya, yang bukan Muslim? Beliau menjawab bahawa asal usul sesuatu ilmu tidak menjadi ukuran. Yang diperiksa ialah kebenarannya. Apa yang benar, diterima dan dihargai, sementara apa yang tidak tepat, kita diperbetulkan. Beliau menyamakan ilmu-ilmu falsafah Yunani dengan menggunakan alat sembelihan: yang dilihat ialah sama ada ia mencapai tujuan yang dibenarkan, dan bukan siapa yang mula-mula membuatnya. Sikap menghargai ilmu ini membentuk sebuah ketamadunan yang berkeyakinan dan tidak berasa rendah diri/inferiority complex. Tamadun yang yakin diri akan menyerap ilmu dengan teliti dan tidak menolaknya semata-mata kerana ilmu itu asing. Inilah semangat yang melahirkan zaman keemasan sains dan falsafah dalam sejarah Islam.

Mengapa pesanan ini masih penting
Hari ini, terdapat dua kecenderungan yang bertentangan. Sebahagian orang menganggap sains sebagai ancaman kepada agama, lalu menjauhinya. Sebahagian lagi menganggap agama sebagai halangan kepada sains, lalu meninggalkannya. Ibn Rusyd menolak kedua-duanya kecenderungan ini. Baginya, mempelajari sains dengan sungguh-sungguh ialah satu bentuk ibadah akliah (ibadah mental), dan pengetahuan yang mendalam tentang ciptaan menambah makrifah serta kehambaan kepada Sang Pencipta.
Pesanan Ibn Rusyd ini mencabar umat dalam dua hal. Pertama, ia menuntut kesungguhan dalam ilmu, kerana tidak ada jalan pintas kepada kefahaman yang “sempurna”. Kedua, ia menuntut keberanian untuk menerima kebenaran daripada mana-mana sumber yang sahih tanpa rasa rendah diri atau kecurigaan yang berlebihan. Kita memang memerlukan lebih ramai insan yang memadukan kedalaman iman dengan ketekunan akal seperti beliau: saintis yang merasai kehadiran Tuhan dalam kajiannya, dan ahli agama yang menghargai kajian saintifik terhadap alam sebagai sebahagian daripada tuntutan agamanya. Semoga Allah merahmati Ibn Rusyd dan menempatkannya beliau di sisiNya Yang Maha Kasih.
Syafiq Ismail





Leave a Reply