Oleh Dr Muhd Shafeiq bin Muhammad Asri
Mahukan fikiran lebih jelas sebelum merancang? Cuba lakukan declutter pada ruang kerja terlebih dahulu. Pernah duduk untuk merancang kerja, tetapi akhirnya hanya merenung buku nota yang masih kosong? Di atas meja ada dokumen lama dan resit yang belum disimpan. Pada komputer, beberapa halaman pelayar masih terbuka. Telefon pula tidak berhenti menerima mesej.
Belum sempat menentukan kerja mana yang perlu didahulukan, kita sudah teringat bil yang belum dibayar, laporan yang belum siap dan janji yang perlu ditunaikan. Semuanya terasa penting. Semuanya seolah-olah perlu dibuat sekarang.
Sebelum menambah satu lagi senarai tugasan, cuba berhenti seketika. Lapangkan sedikit ruang di hadapan kita dan catat apa yang sedang mengganggu fikiran. Inilah yang dimaksudkan dengan declutter: mengurangkan keserabutan supaya lebih mudah untuk melihat apa yang perlu diberi perhatian.
Mengapa ruang berselerak boleh mengganggu tumpuan?
Perhatian kita ada hadnya. Dalam kajian menggunakan pengimejan otak, McMains dan Kastner (2011) mendapati bahawa rangsangan visual yang hadir serentak bersaing untuk diwakili dalam sistem visual. Susunan rangsangan dan arah perhatian turut mempengaruhi persaingan ini.[1]
Itu tidak bermakna kajian tersebut membuktikan bahawa mengemas meja akan terus menjadikan kita lebih produktif. Ia ialah kajian makmal tentang pemprosesan visual. Namun, dapatan itu membantu kita memahami mengapa susunan benda di sekeliling boleh mempengaruhi perkara yang mendapat perhatian.
Sebagai langkah praktikal, simpan dahulu bahan yang tidak diperlukan untuk kerja semasa. Jika mahu menulis laporan, biarkan bahan laporan itu mudah dicapai. Dokumen untuk urusan lain boleh diletakkan di tempat berasingan.
Meja tidak perlu kosong sepenuhnya. Ada orang selesa dengan beberapa buku terbuka. Ada yang lebih mudah bekerja apabila ruangnya lapang. Yang penting, kita boleh mencari bahan dan meneruskan kerja tanpa terlalu banyak gangguan.
Bila barang mengingatkan kita kepada kerja yang belum selesai
Kadangkala, timbunan barang membuatkan kita teringat kepada urusan yang belum selesai. Sampul surat mengingatkan kita kepada bayaran. Fail di tepi komputer mengingatkan kita kepada laporan. Walaupun belum mula bekerja, kita sudah terasa terbeban.
Saxbe dan Repetti (2010) mengkaji cara 60 individu daripada pasangan suami isteri yang kedua-duanya bekerja menggambarkan rumah mereka. Dalam kalangan isteri, gambaran rumah sebagai berselerak atau belum siap dikaitkan dengan penurunan kortisol sepanjang hari yang lebih mendatar serta peningkatan perasaan murung.[2]
Namun, kajian ini menunjukkan perkaitan sahaja. Ia tidak membuktikan bahawa keserabutan menyebabkan tekanan, atau mengemas pasti mengurangkannya. Dapatan daripada kumpulan ini juga tidak boleh dianggap mewakili semua orang.
Oleh itu, kita tidak perlu menilai seseorang melalui rupa mejanya. Cuba perhatikan ruang sendiri: barang mana yang membantu kerja, dan barang mana yang membuatkan perhatian mudah beralih? Mulakan dengan apa yang boleh diubah.
Pindahkan fikiran yang bercelaru ke atas kertas. Catat!
Meja sudah kemas, tetapi fikiran masih bercelaru? Ambil sehelai kertas dan pen. Catat perkara yang sedang difikirkan, sama ada tugasan pejabat, urusan rumah, janji atau kebimbangan yang belum ada jawapannya.
Tidak perlu susun cantik-cantik dahulu. Tulis supaya kita boleh melihat satu persatu perkara yang perlu diurus. Selepas itu, barulah tentukan tindakan yang sesuai.
Masicampo dan Baumeister (2011) mendapati bahawa matlamat yang belum selesai boleh mengganggu fikiran dan prestasi dalam tugasan lain. Dalam siri eksperimen mereka, peserta yang membentuk pelan khusus bagi matlamat tersebut tidak lagi menunjukkan kesan gangguan yang diperhatikan sebelum itu.[3]
Perhatikan bahawa kajian itu melibatkan pelan yang khusus. Menulis senarai panjang sahaja belum tentu memberi kesan yang sama. Catatan perlu disusuli dengan keputusan tentang apa yang hendak dilakukan.
Contohnya, “urus laporan” masih terlalu umum. Cuba tulis, “Esok selepas sarapan, buka fail laporan dan siapkan rangka bahagian pertama.” Sekarang, kita tahu bila hendak bermula dan apa yang perlu dibuat.
Kita tidak perlu menunggu fikiran tenang sepenuhnya untuk mula merancang. Mencatat dan menentukan langkah seterusnya boleh menjadi sebahagian daripada usaha mendapatkan kejelasan itu.
Cara melakukan declutter dalam sepuluh minit
Jika tidak tahu hendak bermula di mana, cuba langkah ringkas ini. Sepuluh minit hanyalah cadangan masa untuk memudahkan percubaan, bukannya formula yang diuji dalam kajian tadi.
Dua minit pertama: lapangkan ruang kerja. Pilih kawasan kecil yang mahu digunakan. Simpan barang yang tidak berkaitan dan kumpulkan dokumen lain di satu tempat. Cukuplah ruang itu boleh digunakan dengan selesa.
Tiga minit berikutnya: catat! Pindahkan fikiran yang bercelaru ke atas kertas. Tulis tugasan, janji, idea dan perkara yang merisaukan. Tidak perlu menyelesaikannya ketika itu juga.
Tiga minit seterusnya: susun apa yang sudah dicatat. Tentukan perkara yang perlu dibuat sekarang, dijadualkan, dibincangkan dengan orang lain atau digugurkan. Jika belum cukup maklumat untuk membuat keputusan, catat apa yang perlu dicari.
Dua minit terakhir: pilih satu kerja untuk dimulakan. Tetapkan masa dan langkah pertama. Tutup halaman pelayar yang tidak berkaitan dan senyapkan pemberitahuan yang boleh ditangguhkan semasa bekerja.
Daripada hanya menulis “siapkan pembentangan”, cuba tetapkan, “Jam 9 pagi, buka fail dan tulis tiga isi utama.” Kerja itu memang belum selesai, tetapi kita sudah tahu bagaimana hendak memulakannya.
Declutter pun perlu ada had
Kita boleh menghabiskan masa menyusun fail, mencuba aplikasi dan menghias perancang, sedangkan kerja utama masih belum disentuh. Jika ini berlaku, persediaan sudah mengambil alih masa untuk bertindak.
Berhenti mengemas apabila ruang sudah boleh digunakan dan langkah seterusnya sudah jelas. Mulakan kerja. Tidak mengapa jika masih ada beberapa perkara yang belum tersusun sempurna.
Pada masa yang sama, kita perlu mengakui bahawa sesetengah beban memang terlalu besar. Kerja berlebihan, kurang rehat dan tanggungjawab menjaga keluarga memerlukan perhatian yang lebih luas. Mengemas meja sahaja tidak akan menyelesaikannya. Kita mungkin perlu berbincang tentang keutamaan, meminta bantuan atau mengurangkan komitmen.
Declutter boleh menjadi langkah kecil untuk memahami apa yang sedang kita hadapi. Dari situ, lebih mudah untuk membuat keputusan tentang perkara yang perlu diteruskan, ditangguhkan atau dilepaskan.
Sebelum mengisi jadual seterusnya, lapangkan sedikit ruang. Pindahkan fikiran yang bercelaru ke atas kertas. Catat! Kemudian, pilih satu langkah dan mulakan.
Bacaan lanjut
Mahukan panduan untuk menyusun kerja dengan lebih teratur? Terokai e-buku Banyak Kerja? Jangan Serabut! oleh Hilmie Milus di Silang Idea. E-buku ini turut disertakan Perancang Kerja Satu Halaman dan Panduan Cuba dalam 7 Hari. Rencana ini ditulis secara berasingan berdasarkan kajian yang disenaraikan di bawah.
Rujukan
- McMains, S., & Kastner, S. (2011). Interactions of top-down and bottom-up mechanisms in human visual cortex. The Journal of Neuroscience, 31(2), 587–597. https://doi.org/10.1523/JNEUROSCI.3766-10.2011
- Saxbe, D. E., & Repetti, R. (2010). No place like home: Home tours correlate with daily patterns of mood and cortisol. Personality and Social Psychology Bulletin, 36(1), 71–81. https://doi.org/10.1177/0146167209352864
- Masicampo, E. J., & Baumeister, R. F. (2011). Consider it done! Plan making can eliminate the cognitive effects of unfulfilled goals. Journal of Personality and Social Psychology, 101(4), 667–683. https://doi.org/10.1037/a0024192





Leave a Reply