Oleh Syafiq Ismail

Bagi Syed Muhammad Naquib al-Attas, kebahagiaan bukanlah suatu mood (keadaan emosi) yang harus dikejar, sebaliknya ia merupakan suatu keadaan jiwa yang berakar umbi pada kepastian (yaqīn). Beliau menghuraikan pandangan ini dalam The Meaning and Experience of Happiness in Islam/Makna Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam, Bab kedua daripada Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

Al-Attas memahami kebahagiaan sebagai sebahagian yang mapan dan sabit teguh daripada pandangan hidup Islam. Di bahagian Pengenalan, beliau menyenaraikan kebahagiaan dalam kalangan unsur asas pandangan hidup tersebut, di samping sifat-sifat Allah, Wahyu, insan, ilmu, dan kebebasan, serta menegaskan bahawa unsur-unsur ini bersifat tetap. Ini sahaja sudah membezakan pandangannya daripada kefahaman yang dinamakannnya ‘moden’, di mana kebahagiaan sentiasa berubah mengikut keadaan.
Istilah yang digunakan beliau ialah sa'ādah (kegembiraan/kebahagiaan/happiness). Ia merangkumi kedua-dua kehidupan dunia dan Akhirat. Tempat semayam kebahagiaan ini ialah hati, iaitu qalb, yang beliau namakan sebagai pusat bagi ilmu dalam diri insan. Oleh itu, kebahagiaan dikaitkan dengan pengenalan (knowing), bukan sekadar perasaan semata-mata. Pengetahuan ini juga memerlukan disiplin: akal harus dilatih agar hawa nafsu dan kemarahan ditundukkan di bawahnya, dan pilihan bebas (ikhtiyār) diarahkan ke arah kebaikan.
Idea ini menjadi lebih jelas pada bahagian penghujung bab tersebut. Al-Attas menyifatkan kepastian (yaqīn) terhadap kebenaran sebagai sebuah keadaan kesedaran yang kekal bagi qalb. Ia adalah pengetahuan tentang Allah yang diperoleh daripada Wahyu dan disertai dengan ibadah. Seseorang yang mempunyai kepastian ini akan bebas daripada sebarang kebimbangan yang timbul akibat keraguan.
Oleh itu, kebahagiaan bukanlah suatu objek yang harus dimiliki. Ia bukanlah matlamat pada dirinya sendiri, sebaliknya kebahagiaan terikat dengan cinta kepada Allah. Beliau juga membezakan tiga peringkat kebahagiaan, dengan penglihatan terhadap Allah sebagai puncak kebahagiaan yang tertinggi.

Perbandingan dengan Kemodenan Barat
Makna kebahagiaan dalam Islam menurut Al-Attas semakin difahami bila dibandingkan dengan lawannya menurut beliau: kemodenan Barat. Pada pandangan beliau, sekularisasi menghapuskan makna kerohanian daripada kebahagiaan dan merendahkan serta mereduksinya kepada sebuah keadaan psikologi yang tidak berkaitan dengan kod moral.
Manusia Barat, setelah menyingkirkan keyakinan dalam kehidupan mereka, hidup dalam pencarian yang berterusan. Apa yang dicari tidak pernah ditemui, maka hasilnya bukanlah kebahagiaan sebaliknya apa yang beliau sebut dalam karyanya yang lain sebagai tragedi gagal dalam mencapai kebahagiaan (the tragedy of unattainment). Beliau menjelaskan keadaan ini dengan shaqāwah – iaitu penderitaan dan kecelakaan, yang merupakan lawan kepada sa'ādah – dan menghubungkannya dengan pandangan tragis drama Yunani serta pemikiran Barat.
Idea sa’adahnya konsisten, kerana keraguan melahirkan kegelisahan, manakala keyakinan tentang Allah and diri sendiri melahirkan ketenangan. Oleh itu, kebahagiaan dalam Islam bagi al-Attas adalah suatu maqam atau keadaan qalb yang kekal kerana puncak yang dicintainya tidak pernah berubah – yakni Allah ta’ala.





Leave a Reply