Oleh Fahmie Ikhwan
Pernahkah anda terfikir, mengapa seseorang yang mempunyai jaringan yang baik dengan ramai orang tidak semestinya menjadi pilihan utama apabila sesuatu tanggungjawab penting perlu dilaksanakan?
Saya pernah berbual bersama senior di tempat kerja. Beliau mengimbau kembali pengalamannya dahulu sebagai underdog dalam organisasi. Beliau menceritakan bagaimana dirinya sentiasa berusaha memberikan hasil kerja yang terbaik, walaupun tidak begitu aktif membina jaringan profesional.
Pada masa yang sama, terdapat seorang lagi rakan sekerja yang lebih menonjol dari segi hubungan dan pergaulan dalam organisasi.
Namun, apabila majikan memperoleh projek baharu dan ingin membentuk sebuah pasukan, sesuatu yang menarik telah berlaku. Senior tersebut menerima sokongan dan cadangan daripada ramai rakan sekerjanya untuk dilantik sebagai ketua pasukan projek berkenaan.
Mengapa beliau menjadi pilihan?
Menurut beliau, individu yang pernah bekerja bersamanya mengetahui kemampuan dan kualiti kerja yang mampu dihasilkan. Kepercayaan tersebut bukanlah terbina semata-mata melalui hubungan sosial, tetapi melalui pengalaman bekerja bersama dan hasil kerja yang telah dibuktikan.
Dalam dunia pekerjaan, kita sering mendengar bahawa membina hubungan profesional atau networking merupakan salah satu kunci kejayaan kerjaya. Semakin luas jaringan yang dimiliki, semakin besar peluang yang mungkin terbuka. Namun, adakah mengenali ramai orang sudah cukup untuk membuktikan kemampuan seseorang?
Tiziana Casciaro dan Miguel Sousa Lobo (2005) telah menerbitkan sebuah artikel dalam Harvard Business Review bertajuk Competent Jerks, Lovable Fools, and the Formation of Social Networks. Kajian tersebut membincangkan bagaimana dua faktor, iaitu kompetensi dan sejauh mana seseorang disenangi, mempengaruhi pemilihan rakan sekerja.
Menariknya, kajian tersebut mendapati bahawa individu yang disenangi tetapi kurang kompeten kadangkala lebih menjadi pilihan berbanding individu yang sangat kompeten tetapi sukar untuk bekerjasama.
Dapatan ini memperlihatkan bahawa hubungan interpersonal memainkan peranan penting dalam dunia pekerjaan. Namun, kajian ini juga mengingatkan kita bahawa kompetensi dan kemampuan bekerjasama merupakan dua perkara yang berbeza, tetapi saling melengkapi.
Persoalannya, apakah nilainya sebuah jaringan profesional yang luas sekiranya ia tidak disertai dengan kualiti kerja yang mampu memberikan keyakinan kepada orang lain?
1. Prestasi Membina Kepercayaan, Bukan Sekadar Populariti
Realitinya, terdapat perbezaan antara dikenali oleh ramai orang dengan dipercayai oleh ramai orang. Seseorang mungkin mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pengurusan dan rakan sekerja, tetapi hubungan tersebut tidak semestinya membuktikan kebolehannya menggalas tanggungjawab.
Prestasi yang konsisten membolehkan orang lain menilai kemampuan seseorang berdasarkan pengalaman sebenar, bukan sekadar persepsi. Apabila organisasi menghadapi projek kritikal, faktor seperti kecekapan, kebolehpercayaan, problem solving dan pengalaman terdahulu menjadi aspek terpenting dalam membuat pertimbangan.

Seperti kisah senior tadi, beliau tidak begitu menonjol dalam membina jaringan. Namun, rakan sekerja pernah menyaksikan sendiri kualiti kerjanya. Apabila peluang memimpin projek muncul, mereka menyokong beliau berdasarkan keyakinan terhadap kemampuannya.
Adakah kita mahu dikenali kerana siapa yang kita kenal, atau kerana apa yang mampu kita sumbangkan?
Populariti mungkin membuatkan nama kita disebut, tetapi prestasi memberikan sebab untuk nama kita dipertimbangkan.
2. Kualiti Kerja Membina Reputasi dan Jaringan Secara Semula Jadi
Kita sering mengaitkan networking dengan menghadiri majlis profesional, berkenalan dengan pihak pengurusan atau membina hubungan di LinkedIn. Namun, terdapat satu bentuk jaringan yang kadangkala kurang diberikan perhatian, iaitu hubungan yang terbina melalui pengalaman bekerja bersama.
Apabila seseorang menunjukkan prestasi yang baik, rakan sekerja, ketua atau pelanggan boleh mula mengingati kebolehannya. Reputasi tersebut boleh berkembang melalui cadangan atau pengiktirafan daripada individu yang pernah bekerja dengannya.

Sebagai contoh dalam bidang perolehan:
Seorang pegawai perolehan berjaya mendapatkan alat ganti kritikal sebelum operasi terganggu.
Beliau bukan sahaja menyelesaikan tugasan, tetapi menunjukkan keupayaan mengurus tekanan dan membuat keputusan.
Apabila projek lain memerlukan pegawai yang berpengalaman dalam pembelian kritikal, namanya mungkin dicadangkan oleh pihak yang pernah menyaksikan prestasinya.
Ini menunjukkan bahawa prestasi bukan sahaja menghasilkan pencapaian, tetapi berpotensi membentuk jaringan profesional berasaskan kepercayaan.
Namun, reputasi juga memerlukan sikap yang baik. Individu yang kompeten tetapi sukar bekerjasama mungkin tetap menghadapi kesukaran membina hubungan.
Dalam buku Berhenti Bekerja (2023), Ameirul Azraie dan Nik Akmal turut membincangkan kepentingan mengenali potensi diri serta membina hala tuju kerjaya yang bersesuaian dengan kemampuan dan aspirasi seseorang.
Pada pandangan saya, perkara ini mempunyai kaitan dengan kepentingan membina potensi diri sendiri: apakah nilai dan kemampuan yang boleh kita tawarkan apabila sesuatu peluang diberikan?
Hubungan profesional mungkin memperkenalkan kita kepada sesuatu peluang, tetapi kemahiran, sikap dan kualiti kerja menjadi sebahagian daripada asas untuk membuktikan bahawa kita layak diberikan kepercayaan.
3. Networking Membuka Peluang, Prestasi Membuktikan Kelayakan
Tidak dinafikan bahawa networking memainkan peranan penting dalam membuka peluang pekerjaan, kerjasama perniagaan dan perkembangan profesional. Melalui jaringan yang luas, seseorang mungkin mendapat akses kepada peluang yang tidak diketahui oleh orang lain.
Namun, mendapatkan peluang dan membuktikan kelayakan merupakan dua perkara yang berbeza. Seseorang boleh diperkenalkan kepada majikan melalui kenalan, tetapi masih perlu membuktikan kompetensi melalui temu duga, rekod pencapaian dan prestasi selepas dilantik.

Begitu juga dalam projek, hubungan profesional mungkin membantu seseorang mendapat peluang menyertai pasukan. Walau bagaimanapun, kepercayaan untuk mengurus sesuatu projek seterusnya boleh dipengaruhi oleh prestasi projek terdahulu.
Massachusetts Institute of Technology (MIT) telah menjalankan kajian selama lima tahun (2015–2019) dengan skala kajian 20 juta pengguna LinkedIn, 2 bilion hubungan baharu, 70 juta permohonan kerja dan 600,000 pekerjaan baharu diterima. Kajian ini bertujuan membuktikan nilai networking dalam mendapatkan peluang pekerjaan dengan memahami sama ada peluang tersebut mudah diperoleh melalui hubungan rapat atau hubungan yang kurang rapat dengan kenalan sekerja atau industri.
Tiga dapatan utama daripada kajian tersebut:
Hubungan yang kurang rapat boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Individu yang tidak begitu rapat dengan kita mungkin mempunyai jaringan berbeza dan mengetahui peluang yang tidak diketahui oleh kenalan terdekat kita.
Hubungan yang sederhana rapat boleh menjadi paling berkesan. Hubungan yang sederhana lemah (moderately weak ties) menunjukkan keberkesanan paling tinggi. Justeru, bukan bermakna semakin jauh hubungan itu, semakin baik dalam semua keadaan.
Keberkesanan networking bergantung pada industri. Kajian mendapati hubungan lemah lebih berkesan dalam industri digital dan teknologi, manakala hubungan lebih rapat memainkan peranan lebih besar dalam industri lain.
Kesimpulannya, networking bukanlah sesuatu yang harus diketepikan. Sebaliknya, ia perlu diiringi dengan usaha meningkatkan kompetensi dan mengekalkan kualiti kerja yang konsisten.
Networking mungkin membuka peluang, tetapi prestasi memberikan sebab untuk seseorang terus diberikan kepercayaan.
“Let Your Work Speak for Itself”.
Fahmie Ikhwan
Shah Alam, MY
Rujukan
1. Casciaro, T., & Lobo, M. S. (2005). Competent jerks, lovable fools, and the formation of social networks. Harvard Business Review. https://hbr.org/2005/06/competent-jerks-lovable-fools-and-the-formation-of-social-networks
2. Ameirul Azraie, & Nik Akmal. (2023). Berhenti Bekerja. IMAN Publication.
3. Dizikes, P. (2022, September 15). The power of weak ties in gaining new employment. MIT News. https://news.mit.edu/2022/weak-ties-linkedin-employment-0915





Leave a Reply