Oleh Schumpetah
Dalam penulisan sebelum ini, saya membangkitkan persoalan sama ada Sabah sedang menghadapi structural trap, iaitu keadaan apabila struktur ekonomi dan pasaran buruh menyukarkan peningkatan pendapatan rakyat meskipun pembangunan terus dilaksanakan.
Antara perkara yang membuatkan saya tertarik ialah jawapan penyelia akademik saya bahawa ramai pekerja terperangkap dalam pekerjaan berkemahiran rendah, bukan semestinya kerana mereka tidak mempunyai kemahiran, tetapi kerana peluang pekerjaan yang bersesuaian agak terhad.
Cuba kita lihat keadaan graduan di Sabah.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah mempunyai sekitar 361,800 siswazah pada 2024, merangkumi pemegang ijazah dan diploma. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 22,700 orang berada dalam kategori penganggur. Namun, saya berpendapat pengangguran bukan satu-satunya isu. Seseorang graduan mungkin sudah bekerja, tetapi adakah pekerjaan tersebut bersesuaian dengan kelayakan dan kemahirannya?
Dalam ekonomi, keadaan ini berkait dengan konsep skills mismatch, iaitu ketidakpadanan antara kemahiran pekerja dengan keperluan pekerjaan. Pekerjaan berkemahiran rendah dan separa mahir sememangnya penting. Namun, masalah timbul apabila graduan yang mempunyai kemahiran lebih tinggi tidak memperoleh peluang untuk menggunakan kepakaran mereka sepenuhnya.
Data DOSM menunjukkan median gaji pekerja sektor formal di Sabah pada Mac 2026 ialah RM2,082 sebulan, berbanding RM3,027 pada peringkat nasional. Walaupun angka ini tidak membandingkan jawatan yang sama, jurang tersebut memberikan gambaran tentang cabaran pendapatan pekerja di Sabah. Sebab itu saya tidak begitu hairan apabila ada anak Sabah memilih untuk bekerja di Kuala Lumpur, Selangor, Johor atau luar negara.
Janganlah cepat menyalahkan mereka. Bukan semua yang berhijrah itu tidak mahu berbakti kepada negeri sendiri. Ada yang mungkin sekadar mahu mendapatkan gaji yang lebih baik, mengembangkan kerjaya atau membina kehidupan yang lebih stabil. Fenomena ini sering dikaitkan dengan brain drain atau penghijrahan tenaga mahir, walaupun tahap sebenar fenomena tersebut di Sabah masih memerlukan data migrasi yang lebih khusus.
Baru-baru ini, dalam pembentangan Belanjawan 2027, kerajaan Persekutuan mengumumkan kenaikan gaji minimum umum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, tertakluk kepada ketetapan pelaksanaan. Namun, kita perlu faham bahawa mengumumkan kenaikan gaji dan memastikan semua pekerja menerimanya merupakan dua perkara berbeza.
Pematuhan majikan, penguatkuasaan undang-undang serta produktiviti perusahaan memainkan peranan penting. Sekiranya struktur ekonomi terus bergantung kepada aktiviti berproduktiviti rendah, kenaikan gaji mungkin sukar dipertahankan tanpa perubahan yang lebih menyeluruh.
Bagi saya, persoalan sebenar bukan sekadar bagaimana mahu mewujudkan lebih banyak pekerjaan, tetapi bagaimana mahu menyediakan pekerjaan yang mampu memberikan pulangan setimpal kepada rakyat Sabah.
Namun, ada satu lagi perkara yang sering kita terlepas pandang. Katakanlah seseorang graduan berjaya memperoleh pekerjaan di Kota Kinabalu dengan gaji RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Adakah pendapatan tersebut benar-benar mencukupi untuk membina kehidupan yang selesa?
Sebab itulah dalam penulisan seterusnya, saya ingin membincangkan satu lagi sisi kepada permasalahan struktur ekonomi Sabah, iaitu hubungan antara gaji, kos sara hidup dan keupayaan isi rumah untuk menyimpan.





Leave a Reply