Oleh Schumpetah
Saya pernah bersembang dengan penyelia akademik saya.
“Dr, adakah Sabah berpotensi menghadapi Malthusian Trap?”
Penyelia saya menjawab, “Sabah lebih kepada structural trap. Kalau Malthusian Trap, kita di Sabah masih mempunyai akses kepada makanan dan peluang pendidikan.”
“Kenapa begitu, Dr?”
“Sebab ramai pekerja terperangkap dalam pekerjaan berkemahiran rendah. Bukan semestinya mereka tidak mempunyai kemahiran, tetapi itu sahaja peluang pekerjaan yang ada.”
Perbualan ringkas ini membuatkan saya berfikir agak lama.
Bagi pengetahuan pembaca, Malthusian Trap atau perangkap Malthus ialah konsep ekonomi yang menerangkan bagaimana peningkatan produktiviti dan pengeluaran makanan akhirnya diimbangi oleh pertambahan penduduk, menyebabkan taraf hidup sukar meningkat secara berterusan.
Konsep ini banyak digunakan untuk menerangkan keadaan ekonomi masyarakat sebelum Revolusi Perindustrian. Namun, kajian Federal Reserve Bank of Minneapolis (2016), berdasarkan data sehingga tahun 2010, pernah mengelaskan negara seperti Afghanistan, Madagascar, Nigeria dan Somalia dalam kategori ekonomi yang masih menunjukkan ciri perangkap Malthus.
Bagaimana pula dengan structural trap atau perangkap struktur ekonomi?
Secara mudah, ia menggambarkan keadaan apabila kelemahan struktur ekonomi, pasaran buruh dan institusi menyukarkan masyarakat meningkatkan pendapatan serta taraf hidup. Ekonomi mungkin berkembang, pelaburan bertambah dan peluang pekerjaan diwujudkan. Namun, manfaat pertumbuhan tersebut tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

Dalam penulisan ini, saya mungkin banyak menggunakan Kota Kinabalu sebagai contoh, memandangkan saya sendiri tinggal di Kota Kinabalu. Jadi, pengalaman dan pemerhatian di sinilah yang paling dekat dengan saya, hehehe.
Lama juga saya berfikir. Kerajaan Negeri Sabah telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya untuk golongan muda. Namun, mengapa kadar kemiskinan Sabah masih tinggi?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7% pada 2022 kepada 17.7% pada 2024. Walaupun menunjukkan kemajuan, Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia. Median pendapatan isi rumah Sabah pada 2024 pula ialah RM4,890 sebulan, berbanding median nasional sebanyak RM7,017.
Lebih menarik, kadar penyertaan tenaga buruh Sabah pada 2025 mencapai 70.3%, hampir menyamai kadar nasional sebanyak 70.8%. Namun, kadar pengangguran Sabah masih berada pada 7.2%, berbanding 3.0% pada peringkat nasional. Angka-angka ini membuatkan saya tertanya-tanya. Jika ramai rakyat Sabah menyertai pasaran buruh, mengapa pendapatan dan taraf hidup masih sukar ditingkatkan?
Mungkin persoalannya bukan sekadar jumlah pekerjaan yang diwujudkan, tetapi jenis pekerjaan yang tersedia dalam ekonomi Sabah. Adakah pekerjaan tersebut menawarkan pulangan gaji yang setimpal dengan kemahiran dan kelayakan pekerja? Atau sebahagian tenaga kerja kita sebenarnya terperangkap dalam pekerjaan berproduktiviti dan bergaji rendah?
Saya tidak mengatakan Sabah sudah terbukti berada dalam structural trap. Namun, beberapa petunjuk ini cukup untuk membuka satu perbahasan yang lebih mendalam.
Dalam penulisan seterusnya, saya ingin membawa persoalan ini lebih dekat kepada realiti pekerja, khususnya graduan dan tenaga mahir Sabah. Mengapa ada yang terpaksa meninggalkan negeri sendiri demi mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik?





Leave a Reply