Oleh Schumpetah
“Tarif akan naik sehingga 40%!”
Begitulah antara pengumuman Presiden Donald Trump pada Julai 2025 yang mencetuskan kegelisahan dalam pasaran kewangan dunia. Pasaran saham, industri perkapalan (shipping) dan perdagangan komoditi yang melibatkan eksport import berdepan ketidaktentuan akibat pengumuman tersebut. Belum pun tarif dilaksanakan, reaksi investors sudah dapat dilihat dalam pasaran saham, malah nilai pelaburan sebahagiannya turut menyusut.
Pada 7 Julai 2025 sahaja, indeks Dow Jones jatuh sebanyak 422 mata (0.94%), S&P 500 merosot 0.79% dan Nasdaq menurun 0.92%. Namun, menariknya, kejatuhan ini tidak berpanjangan kerana sebahagian pelabur menganggap ancaman Trump sekadar strategi rundingan. Menjelang Ogos, apabila tarif tambahan diumumkan, Nasdaq kembali merosot lebih 2% dan S&P 500 jatuh sekitar 1.6%. Walaupun faktor ekonomi lain turut memainkan peranan, situasi ini menunjukkan bagaimana sesuatu pengumuman dasar boleh menggoncang pasaran sebelum pelaksanaannya.
Okay, stop di situ.
Tulisan ini sebenarnya bukan mahu membincangkan tarif Trump, tetapi bagaimana sesuatu pengumuman boleh mempengaruhi exchange rate volatility atau turun naik kadar pertukaran mata wang.
Dalam ekonomi kewangan, fenomena ini boleh dijelaskan melalui teori News Model. Idea utamanya ialah apabila maklumat baharu berkaitan pendapatan negara, money supply, tarif atau kadar faedah diumumkan, market participants seperti pelabur, pedagang mata wang dan institusi kewangan akan menyemak semula jangkaan (expectations) mereka terhadap keadaan ekonomi dan nilai mata wang. Akibatnya, kadar pertukaran semasa (current exchange rate) boleh berubah serta-merta, khususnya apabila maklumat tersebut berbeza daripada apa yang dijangkakan oleh pasaran.
Senang cerita, kita ambil contoh Jerome Powell ketika beliau masih mengetuai Federal Reserve. Investors sentiasa menantikan pengumuman dasar monetari daripada beliau kerana setiap kenyataan berpotensi mempengaruhi jangkaan pasaran. Kini, perhatian yang sama diberikan kepada penggantinya, Kevin Warsh.

Lagi satu perkara menarik, maklumat mengenai sesuatu yang dijangka berlaku pada masa hadapan boleh mempengaruhi kadar pertukaran pada hari ini. Maksudnya, sesuatu dasar tidak semestinya perlu dilaksanakan dahulu sebelum pasaran bertindak. Cukup dengan maklumat atau petunjuk yang mengubah jangkaan pelabur.
Menarik bukan? Macam mana mahu tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan? Bukan bermaksud kita boleh meramal masa depan secara tepat, tetapi kita perlu pandai membaca perkembangan semasa, memahami dasar ekonomi dan menilai kemungkinan yang bakal berlaku. Bak peribahasa, pandai menyelam air yang dalam.
Apa yang saya mahu highlight di sini juga ialah pilihan raya (election) dan kestabilan politik boleh mempengaruhi keyakinan pelabur. Secara umumnya, pelabur lebih yakin terhadap persekitaran ekonomi yang mempunyai institusi terbuka, dasar yang konsisten dan tadbir urus yang boleh dijangka. Bukan semata-mata siapa yang menjadi pemimpin, tetapi bagaimana kepimpinan itu mempengaruhi hala tuju ekonomi.
Sebagai anak Sabah, saya ingin mengambil negeri ini sebagai contoh kerana perkembangan politik dan ekonominya merupakan sesuatu yang dekat dengan kehidupan serta pengalaman saya sendiri. Jadi, bagaimana pula kita boleh melihat isu keyakinan pelabur ini dari perspektif ekonomi Sabah?
Sebab itu, kita di Sabah tidak boleh sewenang-wenangnya bermain dengan sentimen politik. Terutamanya ahli-ahli politik yang suka swing parti ini. Saya tertanya-tanya, sejauh mana mereka menyedari bahawa tindakan politik mereka boleh mempengaruhi persepsi pelabur terhadap kestabilan negeri?
Sudah tentu, perubahan politik di Sabah tidak semestinya mengubah kadar pertukaran ringgit secara langsung. Namun, ketidaktentuan politik berpotensi mempengaruhi keputusan pelaburan, keyakinan perniagaan dan aliran modal ke negeri ini. The more stable and predictable the political environment, the greater the potential to build investor confidence.
Kita kena ingat, investors juga manusia. Mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat, jangkaan dan persepsi terhadap risiko. Ada kalanya keputusan itu rasional, dan ada kalanya reaksi mereka boleh menjadi berlebihan.
Bercakap tentang keyakinan pelabur, kita juga perlu melihat bagaimana prestasi pembangunan infrastruktur mencerminkan keupayaan pentadbiran. Contohnya, projek Pan Borneo Sabah. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2026, hanya empat daripada 35 pakej kerja Fasa 1, bersamaan 11.4%, telah disiapkan setakat 31 Mac 2026. Walaupun angka ini tidak menggambarkan keseluruhan kemajuan fizikal projek, kelewatan pelaksanaan dan peningkatan kos tetap menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pengurusan projek.

Ish, ish. Sudah hampir 10 tahun, masih banyak pakej belum disiapkan. Perkara seperti ini juga wajar diberi perhatian kerana kualiti infrastruktur, kecekapan pelaksanaan projek dan kepastian dasar merupakan antara faktor yang boleh dipertimbangkan oleh pelabur sebelum membuat keputusan.
Jadi, secara keseluruhannya, teori News Model menjelaskan bahawa perubahan kadar pertukaran mata wang boleh menjadi tindak balas rasional terhadap maklumat baharu yang tidak dijangka, khususnya perubahan dalam asas ekonomi (economic fundamentals). Volatility juga tidak semestinya bermaksud pelabur bertindak secara tidak rasional. Ia boleh berlaku kerana peserta pasaran sentiasa mengemas kini jangkaan mereka apabila menerima maklumat baharu.
Walau bagaimanapun, excess volatility juga boleh berlaku apabila perubahan kadar pertukaran lebih besar daripada apa yang dapat dijelaskan oleh faktor asas ekonomi. Fenomena seperti gelembung spekulatif (speculative bubbles) dan peso problems, iaitu keadaan apabila pelabur mengambil kira kemungkinan berlakunya peristiwa besar yang jarang berlaku, turut menjadi sebahagian daripada perbincangan dalam ekonomi kewangan.
Teringat pula Krisis Kewangan Asia 1997. Walaupun krisis tersebut mempunyai punca yang jauh lebih kompleks, termasuk kelemahan sistem kewangan, hutang luar dan aliran keluar modal, ia mengingatkan kita betapa pentingnya keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi.
Akhirnya, pengajaran penting daripada News Model ialah pasaran bukan hanya bertindak terhadap apa yang sedang berlaku, tetapi juga terhadap apa yang dijangka akan berlaku. Dalam ekonomi, kadangkala berita tentang sesuatu yang belum berlaku sudah cukup untuk mengubah nilai sesuatu pada hari ini.
Schumpetah





Leave a Reply